Sia Sitok 3.0 tampil tambahan pakej menarik

Spread the love

KUCHING, 19 Mac: Kempen Sia Sitok 3.0 menawarkan tambahan pakej pelancongan yang menarik dengan harga berpatutan kepada rakyat Sarawak.

Pegawai Unit Komunikasi, Sarawak Tourism Board (STB), Kevin Nila berkata, menerusi penambahan 26 pakej baharu, pengunjung kini boleh memilih sebanyak 88 pakej keseluruhan yang ditawarkan.

Katanya, sambutan hangat yang diterima menerusi edisi 2.0 kempen itu membuatkan STB meneruskan usaha untuk memberikan pengalaman pelancongan yang lebih hebat memandangkan negara akan beralih ke fasa endemik.

“Ini akan membolehkan sektor pelancongan Sarawak kembali hidup namun memandangkan kita masih belum sepenuhnya dapat menerima pelancong asing, inilah inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu pemain industri dengan memberi subsidi potongan harga 50 peratus harga pakej-pakej yang boleh dinikmati,” katanya.

Nikmati pakej pelancongan menarik yang ditawarkan menerusi Sia Satok 3.0 yang dianjurkan oleh Sarawak Tourism Board (STB).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Travelchat Sia Sitok Sarawak di sebuah pusat membeli -belah di sini hari ini.

Pakej-pakej tersebut membabitkan pengalaman seperti aktiviti kembara, ekspedisi, mendalami budaya, etnik dan makanan yang terdapat di seluruh bahagian Sarawak bermula dari Lundu hingga ke Ba’kalalan.

Justeru Kevin berharap rakyat Sarawak tidak melepaskan peluang untuk menikmati pengalaman melancong di negeri yang kaya dengan pelbagai budaya ini.

Mengulas lanjut, Kevin berkata, Kempen Sia Sitok mendapat sambutan yang sangat luar biasa melalui tempahan dalam talian sejak dilancarkan.

“Oleh itu, STB juga menganjurkan pelbagai promosi termasuk pameran fizikal untuk menyakinkan orang ramai bahawa terdapat banyak lokasi di Sarawak yang boleh diterokai dengan harga yang berpatutan melalui kempen ini,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menikmati pengalaman pelancongan menerusi kempen ini boleh melayari https://siasitok.sarawaktourism.com/ untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, pameran fizikal Sia Satok 3.0 juga masih berlangsung di Pusat Membeli-belah Boulevard Kuching. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.