Sarawak mula import biji koko tampung peningkatan permintaan

Spread the love

KUCHING, 19 Mac : Sarawak kini mula mengambil langkah mengimport bekalan biji koko bagi memenuhi keperluan penggunaan industri domestiknya.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, ini kerana Kompleks Kluster Koko di Kota Samarahan tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, ketika ini kompleks berkenaan hanya berupaya untuk mengeluarkan blok coklat bagi memenuhi permintaan usahawan coklat buatan tangan di Sarawak.

“Kita telah mengimport biji koko dalam jumlah yang besar bagi menampung kekurangan stok.

“Saya kurang pasti akan jumlah sebenar biji koko yang diimport namun besar (biji koko import) dari negara – negara Afrika dan sebahagian kecil dari negara jiran,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2022 di sini hari ini.

Menurut Willie, Lembaga Koko Malaysia (LKM) berupaya menyediakan kemudahan bagi pemprosesan biji koko kering tempatan untuk Sarawak dengan kapasiti sebanyak 50 tan setahun.

Dalam perkembangan sama, Willie berkata, program jelajah berkenaan yang bertemakan Memperkasa Komuniti Wanita, Dalam Sektor Agrikomoditi Koko bertujuan untuk memberi ilmu dan kemahiran pembuatan coklat buatan tangan kepada komuniti wanita di Puncak Borneo.

“Kita mahu golongan wanita melibatkan diri dalam bidang keusahawanan serta pengeluaran produk koko dan coklat, ia juga bagi membuka ruang penyertaan keanggotaan koperasi kepada bakal usahawan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.