Kampus Satelit IKN Sarawak lahir modal insan berkualiti – Nancy Shukri

Spread the love

Kredit gambar: Bernama

KUCHING, 19 Mac: Pembukaan Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) di Sarawak dijangka akan memberi peluang kepada semua kaum di negeri ini untuk mendapat pendidikan serta kemahiran yang berkualiti.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kampus berkenaan juga merupakan bukti kerajaan menunaikan janji untuk menyediakan peluang pendidikan untuk meningkatkan sosio ekonomi pelbagai etnik di Sarawak.

“Ini sejajar dengan fokus kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu memperkasa agenda Bumiputera termasuk menerusi penyediaan akses pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kampus berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Rubiah Wang.

Kampus Satelit IKN Sarawak merupakan kampus kedua yang dibuka oleh selepas yang pertama di Kota Kinabalu, Sabah pada 23 April 2021.

Sementara itu, Nancy memberitahu, kementeriannya menyasarkan pengambilan seramai 204 pelajar pelajar di kampus berkenaan sehingga 2025.

“Saya berharap sasaran ini akan dapat dicapai kerana percaya graduan kraf yang dilahirkan IKN akan dapat memperbaiki kualiti hidup keluarga sekaligus membangunkan sosio ekonomi komuniti setempat,” tambahnya.

Ketika ini, kampus berkenaan mempunyai seramai 13 orang pelajar dengan tujuh sedang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tenunan Songket dan Dastar di Kuching manakala enam lagi mengikut latihan Tenunan Pua di Betong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.