Judi di tempat awam: Lapan individu ditahan – Polis

Spread the love

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Seramai lapan individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian di tempat awam iaitu di sebuah pusat hiburan di Batu 3, Jalan Ipoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata mereka yang berusia 18 hingga 62 tahun yang ditahan dalam Op Noda dan Dadu itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata siasatan mendapati kegiatan perjudian itu berselindung di sebalik sebuah pusat hiburan yang dipercayai beroperasi sejak dua minggu lepas dan semasa serbuan dilakukan, sembilan pelanggan lain sedang berhibur sambil minum minuman keras.

“Sembilan pengunjung pusat hiburan itu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara manakala lapan orang terdiri daripada dua penjaga, dua pekerja pusat hiburan dan empat pemain judi ditangkap,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beh berkata semakan rekod mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan.

Katanya kesemua lapan individu itu direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1953 kerana tidak memiliki lesen hiburan dan Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat awam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.