Tiga cubaan seleweng diesel digagalkan polis marin Sarawak

Spread the love

SIBU, 18 Mac: Polis Marin Wilayah Lima Sarawak berjaya menggagalkan tiga cubaan menyeleweng diesel dalam dalam ‘operasi enam jam’ bermula pukul 5.40 pagi semalam.

Menerusi Op Kontraban yang dilancarkan, tiga lelaki ditahan bersama tiga buah lori turut ditahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM94,440.67 semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd. Ghazali berkata, operasi pertama dilakukan oleh pasukan Unit Risikan Marin (URM) berjaya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu sebuah lori jenis Toyota 1.5 tan di tepi Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa muatan minyak diesel dianggarkan sebanyak 935.43 liter yang disimpan di dalam lima tong.

Pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barang kawalan,” katanya menerusi kenyataan media.

Tiga lelaki ditahan bersama tiga buah lori yang membawa muatan diesel secara tidak sah dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM94,440.67 semalam.

Dalam operasi kedua pula katanya, seorang lelaki yang memandu lori jenis Toyota Hino 1.5 tan dengan muatan minyak diesel 730 liter yang disimpan dalam satu tangki besi ditutup dengan kanvas ditahan anggotanya di Jalan Teruntum pada pukul 7.30 pagi.

Ujarnya, lelaki terbabit juga gagal mengemuka sebarang bukti sah untuk membawa minyak diesel bernilai RM1,569 dan lori yang digunakan turut dirampas.

“Dalam operasi terakhir pada pukul 12.10 tengah hari, pasukan berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun atas kesalahan yang sama di Jalan Dr. Wong Soon Kai,” katanya.

Zulfikar berkata, turut dirampas sebanyak 400 liter diesel dan lori Toyota Hino 1.5 tan yang dipandu suspek.

“Kesemua tiga suspek disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan barang rampasan diserah kepada KPDNHEP Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.