Lebih 11,000 kekosongan jawatan dalam PDRM

Spread the love

MELAKA, 18 Mac: Sebanyak 11,111 kekosongan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan sehingga 31 Januari lepas, kata Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zaini Jass.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 651 kekosongan perjawatan melibatkan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis (9,005 perjawatan) dan pegawai awam (1,455 perjawatan).

“Secara keseluruhan sehingga 31 Jan lepas, PDRM mempunyai 137,628 perjawatan merangkumi pegawai kanan polis, pegawai rendah polis serta pegawai awam dan kekosongan yang berlaku disebabkan kesukaran untuk melaksanakan latihan atau kursus bagi mengisi perjawatan yang ada, ekoran penularan COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

“Pada tahun ini kami sedang dan akan melatih sebanyak 5,000 individu bagi mengisi kekosongan jawatan pegawai rendah polis dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan dan baki kekosongan yang ada dijangka dapat diisi menjelang akhir tahun hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun terdapat kekosongan perjawatan namun ia tidak menjejaskan kesiapsiagaan PDRM dalam menghadapi peralihan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata anggota atau pegawai polis boleh memohon untuk berpindah atau bertugas di negeri asal namun ia bergantung kepada beberapa syarat yang ditetapkan.

“Dasar kami tidak berubah. Mereka boleh membuat permohonan dan mempertimbangkannya tetapi umur mereka perlulah menghampiri usia persaraan dan terdapat kekosongan di negeri yang dimohon,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.