Cubaan seludup masuk 700 batang balak dari Papua New Guinea gagal

Spread the love

BINTULU, 18 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 700 batang kayu balak susulan penahan dua bot tunda dan dua tongkang di sini.

Pengarah Zon APMM Bintulu, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, bot dan tongkang itu dikesan pada jarak lebih kurang tiga batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, pada pukul 6 petang semalam.

Katanya, ketika operasi dilancarkan, kru bot berkenaan sedang memindahkan muatan barangan bercukai yang disyaki kayu balak import dari Papua New Guinea tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan, APMM mendapati kesemua bot tunda dan tongkang tersebut gagal mengemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti pemindahan barangan bercukai di laut serta gagal mengemukakan Borang Kebenaran Pelepasan Pelabuhan daripada pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Susulan itu katanya, seramai 15 kru bot tunda dan tongkang ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan, lapan (Indonesia) serta masing – masing dua rakyat India dan Myanmar.

“Muatan disyaki kayu balak berjumlah lebih kurang 700 batang juga didapati berada di atas kedua-dua tongkang semasa pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.