Tidak hadir Parlimen kerana kecemasan, bukan letak jawatan – Tengku Zafrul

Spread the love

KUCHING, 17 Mac : Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan beliau tidak hadir di Dewan Rakyat pagi tadi bagi membentangkan Rang Undang – Undang Perbekalan Tambahan 2021(2022) kerana menyelesaikan hal kecemasan peribadi.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul ‘menolak’ laporan portal Utusan Malaysia awal petang tadi yang mengaitkan beliau meletak jawatan dalam kabinet yang disandang sejak dua tahun lalu.

Tengku Zafrul berkata, media berkenaan boleh meminta pengesahan daripada pejabat atau pegawainya.

“Perkara itu dalam perancangan kerana pada tahun lepas, rang undang – undang berkenaan turut dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan.

“Atau mungkin Utusan Malaysia buat – buat tidak tahu, tidak kisah atau tidak ingat?

Saya mohon, kalau boleh adillah sikit bila buat laporan media, gunakalah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” tulisnya di Facebooknya hari ini.

Hantaran berkenaan dipercayai sebagai reaksi kepada laporan berita bertajuk Tengku Zafrul letak jawatan Menteri Kewangan? yang disiarkan awal petang tadi.

Laporan portal itu turut memetik kenyataan Tengku Zafrul menerusi wawancara bersama media tempatan sebelum ini sebagai berkata, beliau rela meletak jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara sekali. 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas RM10,000 daripada KWSP setelah mendengar dan meneliti cadangan rakyat.

Tengku Zafrul berkata, beliau tidak berniat untuk ‘lari’ daripada tanggungjawab menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan.

” Ini bukan kali pertama seorang Menteri diminta membacakan jawapan Menteri lain.

” Terima kasih Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, semua soalan tambahan yang dikemukakan akan dijawab secara bertulis. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.