Kapal TLDM dan pesawat TUDM kesan dan usir 12 bot nelayan asing, ceroboh masuk negara

Spread the love

KUALA LUMPUR 17 Mac : Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengekang cubaan pencerobohan 12 buah bot nelayan asing daripada memasuki negara, berhampiran Pulau Perak di Kedah, petang tadi.

TLDM dalam kenyataan malam ini, memaklumkan penyaluran maklumat yang pantas menerusi Maritime Component Commander Barat, telah mengatur gerak aset yang terhampir iaitu Kapal Diraja (KD) Keris untuk ke lokasi pengesanan awal bot tersebut, di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak, pada 5 petang tadi.

“Setiba di posisi pengesanan, KD Keris melakukan pengusiran ke atas lima buah bot nelayan asing di lapangan, manakala tujuh lagi bot dilaporkan dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Pesawat B200T (RMF 339) milik Tentera Udara Diraja Malaysia, telah mengesan keberadaan 12 buah bot nelayan asing yang dinyatakan di dua posisi berbeza iaitu pada 71 batu nautika dan 57 batu nautika tenggara, Pulau Perak.

Kenyataan itu juga memaklumkan, maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut dan Angkatan Tentera Malaysia amnya, tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM bersama Agensi Penguatkuasa Maritim yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset Op Benteng Laut, demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.