All England : Permulaan sempurna bagi Zii Jia, Aaron-Wooi Yik

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 Mac : Pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Terbuka All England 2022 di Birmingham, dengan sempurna apabila berjaya menempah tempat ke pusingan kedua, malam tadi.

Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Zii Jia yang merupakan pemain pilihan keenam, mengambil masa 43 minit untuk menundukkan pemain Jepun, Kenta Nishimoto, 21-16, 21-17.

Zii Jia, yang menduduki ranking ketujuh terbaik dunia, dijangka menempuh laluan mudah ke suku akhir yang dijadual bertemu Brian Yang hari ini selepas pemain Kanada bukan pilihan itu, bangkit daripada ketinggalan menewaskan Sitthikom Thammasin dari Thailand, 16-21, 21-19, 22-20, semalam.

Sementara itu, pemenang gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke peringkat seterusnya berikutan kemenangan ke atas gandingan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley, 21-14, 21-19.

Aaron-Wooi Yik, gandingan pilihan keempat akan menentang He Ji Ting-Tan Qiang dari China.

Ji Ting-Tan Qiang berjaya ke pusingan kedua apabila menyingkirkan gandingan negara yang baru dinobatkan juara Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam rubber set, 21-15, 19-21, 21-11.

Dalam pada itu, pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dengan mudah menumpaskan pasangan tidak ternama dari Brazil apabila pasangan ranking 15 dunia itu mara ke pusingan kedua, menewaskan pasangan dari Brazil, Jaquelina Lima-Samia Lima, 21-8, 21-12.

Pearly-Thinaah akan menentukan slot ke suku akhir menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi selepas gandingan Jepun itu menundukkan beregu India, Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki, 21-9, 21-13.

Bagi kategori beregu campuran, gandingan profesional Malaysia ke-13 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie sekali lagi tumpas pada pusingan pertama menentang pasangan Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund, yang menduduki ranking 765 dunia, 21-18, 21-16.

Minggu lepas, Soon Huat-Shevon gagal mara ke pusingan kedua Terbuka Jerman 2022 selepas mereka tewas kepada Callum Hemming-Jessica Pugh dari England, 21-14, 13-21, 12-21. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.