Aktiviti sukan, kokurikulum sekolah dibenarkan mulai Isnin ini – Radzi

Spread the love

Nota : Gambar arkib

PUTRAJAYA, 17 Mac : Aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata kebenaran itu diberikan hanya bagi aktiviti dalam kawasan sekolah sahaja, dan garis panduan serta aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 berhubung kebenaran itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Aktiviti sukan di sekolah dibenarkan bermula Isnin ini.

 “Sudah pasti ini berita gembira buat anak-anak kita yang selama ini hanya berada dalam bilik darjah sahaja. Kita ingin memberi peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus COVID-19 sebelum beralih ke fasa endemik,” katanya.

Murid sekolah di negara ini kembali dibenarkan menyertai aktiviti sukan dalam kawasan sekolah dan perlu mengikut garis panduan pencegahan COVID-19 yang akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Pada 10 Jun lepas KPM menetapkan bahawa sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik COVID-19.

Sementara itu merujuk kepada rancangan penyediaan lokar di sekolah rendah bagi menangani isu beg murid yang berat, Radzi berkata KPM dalam proses mengenal pasti spesifikasi lokar, bagi menentukan jenisnya, dan memastikan kualiti terbaik bagi membolehkan ia digunakan untuk jangka panjang.

“KPM sedang berusaha menjalankan proses pemasangan secepat mungkin setelah kita kenal pasti lokasi sesuai di kawasan sekolah, namun ada tatacara serta proses yang perlu dipatuhi,” katanya.

Pada 6 Mac lepas, Radzi mengumumkan penyediaan lokar di sekolah rendah yang akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini sebagai pendekatan menangani isu beg murid yang berat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.