Innergia bangunkan SYCARDA kaji data peruncit

Spread the love

KUCHING, 16 Mac: Menyedari potensi besar bidang sains data, sebuah syarikat tempatan, Innergia Labs Sdn. Bhd. telah mengorak langkah dengan membangunkan SYCARDA yang merupakan platform untuk mengkaji data yang diperlukan oleh segmen peruncit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vernon Chua berkata, sebelum ini kajian dan penyelidikan telah dijalankan terhadap ramai peruncit, pengusaha makanan dan minuman berkenaan data yang diguna pakai oleh syarikat gergasi.

Katanya, penggunaan data juga dapat membantu meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi syarikat-syarikat kecil.

“Sistem ini berupaya untuk menggambarkan corak pembelian pelanggan di sesebuah kedai,” katanya.

Vernon berkongsi perkara itu ketika menjadi tetamu rancangan Sejahtera Asia terbitan TVS hari ini.

Menurut Vernon, penggunakan data dalam operasi juga dapat membantu serta mencipta gaya promosi yang mantap dan efektif.

“Selain itu, menerusi penggunaan data, peruncit juga dapat mengenal pasti produk yang kurang laris,” katanya.

Beliau memberitahu, SYCARDA telah dilancarkan pada 2018 dan menerima sambutan yang amat menggalakkan terutama ketika dunia sedang dilanda pandemik COVID-19.

Sementara itu, syarikat berkenaan turut bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerusi program 100 Go Digital.

“Kerjasama berkenaan meliputi penganjuran sesi webinar serta latihan menggunakan data bagi memantapkan perniagaan,”katanya.

Lebih menarik lagi katanya, pelanggan boleh memohon geran kerajaan sekiranya melanggan platform SYCARDA.

Pada masa sama, Vernon percaya, sektor berkenaan akan terus berpotensi berkembang dengan mengambil kira unjuran Pusat Data Antarabangsa yang meramalkan perbelanjaan segmen data di Malaysia akan mencecah RM7.9 bilion menjelang 2025. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.