Suami isteri penjawat awam direman berhubung kes rasuah bernilai RM182,060

Spread the love

SHAH ALAM, 15 Mac: Sepasang suami isteri direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM182,060 berhubung kerja-kerja menyelenggara bangunan pada 2020.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di sini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor membuat permohonan tersebut.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek yang merupakan penjawat awam masing-masing berusia 50 dan 46 tahun ditahan selepas memberi keterangan di SPRM Selangor di sini semalam pada 5.10 dan 5.15 petang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Majisret sama turut mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini ke atas seorang lagi penjawat awam berhubung kes suapan  RM13,000.

Menurut sumber sama, suapan itu sebagai balasan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap seorang lelaki yang ditangkap membabitkan satu kes cabul.

Lelaki itu ditangkap semalam pada 4.05 petang semasa sedang bertugas di sebuah agensi penguat kuasa di sebuah daerah di Selangor dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) akta serupa. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.