Sarawak sasar kurangkan penggunaan tenaga kerja, manfaat teknologi sepenuhnya

Spread the love

KUCHING, 14 Mac : Sasaran Sarawak dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dilihat mampu dicapai dengan adanya pendekatan teknologi digital dalam institusi pendidikan di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD),  Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata antara sektor tumpuan utama di Sarawak untuk beralih sepenuhnya ke arah penggunaan teknologi adalah pertanian.

“Sektor pertanian secara tradisionalnya amat bergantung kepada tenaga kerja buruh.

Bagaimanapun, kami di pihak Kementerian akan berusaha mencipta inovasi terbaharu melibatkan penggunaan teknologi bagi mengurangkan tenaga kerja buruh di masa-masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), di sini, hari ini.

Tambahnya hampir keseluruhan program latihan di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) menggunakan teknologi digital.

CENTEXS juga katanya, banyak menjalin kerjasama dengan kumpulan ataupun pakar-pakar dari negara luar dalam bidang teknologi.

“Selain itu, kami di pihak Kementerian akan terus mengawasi dan berusaha untuk melahirkan bakat-bakat berkualiti dari semua kolej teknikal kita termasuk universiti dan institusi lain supaya ia akan kekal relevan terutamanya kepada industri dan keperluan di Sarawak,” ujarnya lagi.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.