Ibu bapa kanak – kanak hilang antara ditahan polis

Spread the love

Tambahan laporan oleh Nur Suhaida Muliyono

KUCHING, 12 Mac: Polis mengesahkan penahanan ibu dan bapa kepada kanak- kanak lelaki, Eric Chang Wei Jie, 4, yang dilaporkan hilang di Bintawa pada Isnin lepas untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, polis turut menahan dua lagi individu yang mana ujian air kencing kesemua mereka positif dadah.

Difahamkan, ibu dan bapa Eric ditahan pada Khamis lepas.

Semalam, Ahsmon turut mengesahkan kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 49 tahun itu turut mempunyai 17 rekod jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah, jenayah harta benda dan jenayah komersial.

Polis juga telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan Eric yang dilaporkan hilang pada pukul 9 pagi di rumah pengasuh di Taman Riverview, Bintawa.

Sementara itu, Ahsmon turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil menerusi talian 013-6852210 atau menghubungi balai polis berdekatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.