Dua lagi direman bantu siasatan kes rasuah RM29 juta babit syarikat penghantaran

Spread the love

PUTRAJAYA, 11 Mac: Seorang penolong pengurus operasi dan bekas pengurus bahagian kontrak sebuah syarikat penghantaran direman lima hari hingga 15 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kedua-dua suspek berumur 54 dan 47 tahun itu, ditahan kira-kira 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber SPRM berkata mereka disyaki menerima rasuah daripada syarikat penghantaran antara 2019 hingga 2021 sebagai balasan membantu mendapatkan kerja-kerja penyediaan perkhidmatan pengangkutan syarikat terbabit melibatkan nilai projek kira-kira RM29 juta. 

“Kegiatan itu dipercayai dilakukan bersama seorang lagi suspek berumur 43 tahun yang merupakan ketua perancang bahagian di syarikat penghantaran dan telah direman enam hari pada 8 Mac lepas.

“Siasatan terhadap mereka dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” menurut sumber SPRM.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu, dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas Pegawai Pendakwa SPRM Siti Zaharah Alias mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.