Mohammad Abdul Hakim wakili Malaysia ke World Skills Competition (WSC) 2022 di Shanghai

Spread the love

MUKAH, 8 Mac : Seorang pelajar Politeknik Mukah (PMU) bakal mewakili Politeknik Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam World Skills Competition (WSC) 2022 di Shanghai, China pada bulan Oktober nanti.

Mohammad Abdul Hakim Busrah. 20, Anak kelahiran Sarikei, pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) PMU, bakal bertanding dalam bahagian Teknologi Sesawang bersama perserta lain dari serata dunia.

Terdahulu Mohammad Abdul Hakim telah mencapai markah tertinggi dalam peringkat akhir ujian amali calon peserta Worldskills Competition 2022 di Shah Alam dan terpilih sebagai calon peserta dengan menewasakan tiga peserta lain dari Universiti Teknikal Melaka (UteM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIIT) dan Kolej Vokasional Shah Alam.

Menurut Pengarah PMU Dr. Zamzam Mohd Walid penglibatan pelajar dalam Pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) pada awalnya adalah antara komitmen  yang menjadi simbolik inovasi kepada latihan kemahiran bagi melambangkan jangkauan kemahiran ke aras paling cemerlang sebagai peneraju dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

“Kejayaan ini ialah hasil daripada kerjasama antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti  (JPPKK) dan semua politeknik di bawah naungannya  dengan berpaksikan misi latihan kemahiran dalam mewakili Politeknik Malaysia.

“JPPKK melalui Bahagian Kurikulum turut mengambil inisiatif dengan menggalas tanggungjawab menyelaras penganjuran pertandingan kemahiran di peringkat politeknik iaitu Polyskills, seterusnya penyertaan di peringkat Pra-kelayakan Kebangsaan WSMB (Pra WSMB) dan Peringkat Akhir Kebangsaan WSMB,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Majlis Hitea #RoadToShanghai bagi memberi semangat serta sokongan dan berkesempatan melakukan serahan bendera kepada Mohammad Abdul Hakim di PMU baru- baru ini.

Dr Zamzam turut berkongsikan rentetan dari kejayaan tersebut, Mohammad Abdul Hakim akan mengikuti latihan bersama Pakar Negara yang akan bermula pada awal Mac ini.

“Sekiranya beliau menunjukkan prestasi yang baik dan berjaya melepasi ujian prestasi pada dua bulan akan datang, beliau akan diserap sebagai peserta negara tanpa syarat.

“Untuk makluman bersama juga, sepanjang minggu ini pihak PMU melalui Team PolySkills telah melaksanakan Kem Peningkatan dan Kekuatan Minda khas untuk Mohammad Abdul Hakim.

“Antara lain pengisian program berkenaan adalah seperti kem motivasi, kerohanian, aktiviti kecerdasan, peningkatan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Semoga penganjuran kem selama seminggu yang dirancang khusus untuk calon peserta negara ini dapat meningkatkan lagi semangatnya.

“Usaha kita tidak terhenti di sini sahaja, pada minggu berikutnya pula Mohammad Abdul Hakim akan menyertai kem motivasi bersama calon peserta negara yang lain di Melaka,”jelasnya lagi.

Dr Zamzam turut berkesemparan menasihati dan memberi semangat kepada Mohammad Abdul Hakim agar dapat memberi tumpuan, fokus dan lakukan yang terbaik dan PMU katanya akan sentiasa memberikan sokongan penuh dalam apa jua bidang yang diceburi terutama bidang TVET.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pembimbing bidang kemahiran Teknologi Sesawang iaitu Muhammad Thariq Abdul Razak atas kejayaan pimpinan beliau melahirkan seorang peserta negara dalam bidang  berkenaan.

“Tahniah kepada Penyelaras PolySkills PMU serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atas kecemerlangan ini, selamat maju jaya kepada Mohammad Abdul Hakim dan semoga memperoleh kejayaan di sana dan dapat mengharumkan nama anda, ibu bapa, keluarga, Politeknik dan negara,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Program Gapaian Emas World Skills Competition 2022 Wan Jamalilail Wan Mohd Zen, Pengarah Program Gapaian Emas World Skills Competition 2022 Mariati Masduki, dan Ketua-ketua Jabatan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.