Abang Johari beri jaminan tiada kekangan untuk wanita Sarawak berjaya

Spread the love

Kredit foto: UKAS

MIRI, 8 Mac: Tiada apa-apa dari segi perundangan yang akan dibiarkan untuk mengekang pencapaian kaum wanita.

Demikian jaminan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, apa sahaja bentuk rintangan hendaklah diketepikan supaya ia tidak akan menghambat kemajuan kaum wanita dalam pelbagai bidang.

“Sebagai Ketua Kerajaan GPS, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan GPS sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan yang amat penting merangkumi segala aspek pembangunan negeri dan negara.

“Ini terbukti yang mana Kerajaan GPS mempunyai kesungguhan dalam mengangkat martabat wanita dengan memasukkan komitmen untuk “Memperkasakan Penglibatan Wanita dalam Pembangunan Sarawak” dalam Manifesto GPS pada PRN12 yang lepas,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah sempena Hari Wanita Sarawak 2022, di sini, hari ini.

Tambahnya, menerusi prestasi khidmat Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, janji dalam manifesto tersebut bukanlah sekadar manis di bibir sahaja.

Bagaimanapun katanya, usaha-usaha ini masih belum mencukupi.

“Khususnya kepimpinan wanita di sektor awam dan sektor korporat.

“Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha supaya suatu hari nanti kaum wanita boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki seperti yang dijanjikan dalam Manifesto GPS,” ujarnya lagi.

Beliau percaya kaum wanita memainkan peranan yang penting dalam program pembangunan Sarawak hingga ke tahun 2030 dan seterusnya. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.