MH370 : Dunia masih menanti dengan penuh harapan

Spread the love

KUCHING, 7 Mac : Tanggal 8 Mac 2014, dunia digemparkan dengan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada pukul 12.41 pagi , membawa seramai 239 penumpang termasuk 12 anak kapal.

Lapan tahun berlalu dan esok merupakan tarikh ulang tahun kehilangan pesawat komersial yang dianggap sebagai antara yang ‘paling misteri’ dalam sejarah dunia penerbangan.

Antara penumpang pesawat ‘malang’ berkenaan termasuklah 152 warga China, 50 warga Malaysia, tujuh (Indonesia), enam warga Australia, empat rakyat Perancis serta masing – masing tiga dari Amerika Syarikat, Ukraine, New Zealand, Iran dan Kanada.

Turut hilang masing-masing seorang rakyat Taiwan, Hong Kong, Belanda dan Rusia.

Ketua Pramugaranya, Andrew Peter Nari berasal dari Sarawak.

Komunikasi terakhir yang terus dikenang ialah rakaman penghantar suara antara juruterbang pesawat dengan menara kawalan melantunkan ungkapan , “Goodnight Malaysia , Three Seven Zero” pada pukul 1 pagi waktu tempatan.

Kehilangan itu membawa kepada misi pencarian yang panjang malah dengan kos operasi tertinggi dalam sejarah mencari dan menyelamat (SAR) apabila Kerajaan Malaysia dilaporkan telah berbelanja sebanyak RM457 juta sehingga 2017 namun semua usaha berkenaan masih buntu.

Akhirnya misi pencarian ditamatkan pada 2019 selepas tenaga pakar dan teknologi tercanggih yang digunakan tidak mampu mengesan atau menemui bangkai pesawat berkenaan yang disahkan ‘berakhir’ di Lautan Hindi, salah satu kawasan laut ‘paling sepi’ di dunia.

Malaysia menyifatkan insiden itu sebagai satu kemalangan di sebalik pelbagai ‘teori konspirasi’ yang bertebaran di ruang maya.

Semua waris penumpang diberi pampasan di bawah Konvensyen Montreal 1999 dan Malaysia Airlines (MAS) bertanggungjawab untuk membuat pembayaran.

Kini setelah hampir empat tahun , pencarian pesawat tersebut bakal diaktifkan semula apabila data baharu yang muncul dilihat meyakinkan bahawa MH370 terhempas di laut dengan kawasan daratan yang paling hampir ialah di Perth, Australia.

Memetik laporan BBC, Richard Godfrey, jurutera Aeroangkasa British berkata, pesawat itu telah terhempas di laut pada kedudukan 1,933 batu di barat Perth dan ‘bersemadi’ pada kedalaman 4,000 meter bawah paras laut.

Penjelasan Godfrey terhadap penemuannya dikukuhkan lagi melalui pelaksanaan Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) yang berjaya mengesan gangguan dalam isyarat radio yang dipancarkan sekaligus mendedahkan destinasi akhir penerbangan.

Sementara itu, Malaysia turut ‘berminat’ untuk menyambung operasi pencarian yang kali terakhir dilakukan pada 29 Mei 2018.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong pada 22 Februari lalu berkata, Putrajaya akan bekerjasama dengan China dan Australia dalam usaha mencari MH370 selepas memperakui data baharu yang ditemui oleh Godfrey.

Katanya , Malaysia juga akan merujuk kepada keputusan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Perkembangan ini mungkin memberi harapan baharu kepada kesemua waris mangsa yang telah lapan tahun menderita kerana kehilangan orang tersayang dalam cara yang paling tidak pernah dibayangkan.

Apa yang pasti , dunia akan terus menanti perkhabaran MH370.

Mungkin akan ada keajaiban di penghujung plot yang sangat panjang ini.- TVS

Tags: #bm, mh370

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.