Abang Afiq Yazid sumbang pingat pertama Sarawak

Spread the love

Kredit gambar : File ABAS

KUCHING, 7 Mac : Sarawak memulakan hari pertama Kejohanan Boling Antara Negeri 2022 dengan langkah kanan apabila pemain perseorangan lelakinya, Abang Afiq Yazid Abang Azman berjaya meraih pingat perak dalam acara berkenaan.

Abang Afiq Yazid, 23, menamatkan saingan di podium selepas mengumpul 1,240 pin, ketinggalan 21 pin kepada pemenang pingat emas, Hariz Adlan dari Pulau Pinang yang menjatuhkan 1,261 pin selepas enam permainan.

Abang Afiq yang meraih lima pingat emas pada Sukma 2018 di Perak bagaimanapun bermula perlahan dalam saingan di Pusat Boling Megalanes, Bandar Sunway, pagi tadi apabila sekadar menjatuh 173 dan 190 pin pada dua perlawanan awal.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mula mendapat rentak pada permainan ketiga apabila membenam 218 pin namun sekali lagi bergelut pada permainan keempat apabila hanya sekadar menjatuhkan 176 pin.

Sedar sedang ketinggalan, Abang Afiq Yazid memperkemaskan hayunan pada dua perlawanan terakhir dan berjaya melakukan catatan 224 dan 259 sekaligus meraih kedudukan podium.

Gangsa diraih oleh wakil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhammad Rifqi Mohd Razzin Gerald.

Sementara itu, seorang lagi wakil Sarawak, Tsen Fen Yew terlepas pingat apabila menamatkan cabaran di tempat kelima dengan jatuhan 1,216 pin biarpun mendahului saingan selepas permainan keempat.

Dalam kategori wanita, Sarawak gagal menambah pingat apabila Gillian Lim sekadar menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan 1,136 pin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.