Ahli parlimen Hulu Rajang syor tambah kerusi Sabah, Sarawak

Spread the love

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Ahli Parlimen Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) meminta kerajaan memperhalusi cadangan pindaan berkaitan penambahan jumlah kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Wilson ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam berkata Sabah dan Sarawak wajar diberikan satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen agar agihan kuasa dalam Parlimen tidak hanya bergantung kepada satu pihak (Semenanjung) sahaja.

“Komposisi kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak setakat ini hanya meliputi satu daripada empat kerusi, daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat. 

“Setakat ini 56 kerusi sahaja bagi kedua-dua negeri ini di dalam Parlimen iaitu Sabah 25 kerusi dan Sarawak (31). Angka ini jauh berbeza dengan semangat yang diwujudkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan konsep co-partner,” katanya pada sesi perbahasan semalam.

Katanya walaupun perkara itu tidak termaktub di dalam MA63 namun kerajaan diharap dapat menyegerakan tindakan memperhalusi cadangan berkenaan.

Selain itu Wilson berkata pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Sarawak juga perlu disegerakan terutama bagi kawasan luar bandar dan pedalaman negeri itu, kerana Kalimantan bersebelahan dengan Sarawak dan Sabah sedang dibangunkan sebagai ibu negara baharu Indonesia yang secara tidak langsung membawa limpahan ekonomi kepada dua negeri itu.

Sementara itu menyentuh mengenai kejayaan pindaan Perlembagaan Perseketuan berkaitan MA63, Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berkata ia jelas sekali untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu (Malaysia) yang termaktub dalam MA63.

“Ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia demi memastikan keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat negara ini,” katanya. 

Ahmad berkata pindaan Perkara 6 (3)(a) Perlembagaan Sarawak 2022 yang menukar gelaran Ketua Menteri kepada Premier adalah langkah yang tepat untuk membezakan serta memartabatkan kedaulatan Sarawak sebagai antara wilayah dalam pembentukan Malaysia. 

“Adalah tidak logik dan tidak sesuai jika Sarawak masih menggunakan istilah Ketua Menteri seperti negeri Melaka dan Pulau Pinang sedangkan status Sarawak di dalam Perlembangan Persekutuan adalah setara dengan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.

Persidangan bersambung hari ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.