UTS tawar insentif kerajaan Sarawak bantu pelajar B40, M40

Spread the love

KUCHING, 28 Feb: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menawarkan insentif kerajaan Sarawak bagi membantu pelajar daripada golongan B40 dan M40, kata Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Prof Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.

Ujarnya, kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak 80 peratus bagi menampung kos yuran pengajian untuk pelajar daripada golongan B40 dan juga M40. 

“Bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam program matrikulasi ialah percuma.

“Semua program yang ditawarkan di UTS telah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya ketika ditemubual dalam program bual bicara TVS, Sejahtera Asia pada Isnin.

Beliau juga berkata UTS akan mewujudkan program baru mengikut citarasa dan trend terkini terutamannya dalam digital teknologi. 

Untuk rekod, kerajaan Sarawak telah memperkenalkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS.

Antara insentif ini termasuklah Biasiswa Yayasan UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS dan Skim Biasiswa UTS, selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak.

UTS dahulunya dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) sebelum dianugerahkan taraf sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 8 November 2021 dan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 10 November 2021.

Universiti milik penuh Kerajaan Sarawak ini ditubuhkan pada 1 April 2013.

Majlis konvokesyen Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan diadakan secara bersemuka pada 5 dan 6 Mac 2022. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.