Polis jumpa senapang dan peluru susulan penahanan suspek kes samun

Spread the love

BINTANGOR, 28 Feb: Polis menjumpai senjata api susulan penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga suspek kes samun berkawan tanpa senjata api di Ulu Stras pada 22 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis Sekam Anoi berkata, senapang termasuk peluru itu dijumpai di Sungai Rayah, Batu Lima dalam satu operasi sepasukan polis dari IPD Meradong dan Cawangan Jenayah Berat (D9) IPK Sarawak, kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

“Hasil soal siasat, lelaki itu telah membawa polis ke satu lokasi di tepi Sungai Rayah, Batu Lima, Jalan KJD Meradong.

“Susulan itu, kita menjumpai selaras senapang patah bekakuk dan dua laras senapang angin. Pada masa yang sama, kita turut menemui dua kelongsong peluru di rumah lelaki berkenaan. Suspek ditahan sehingga 3 Mac bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sekam, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjatapi 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10 ribu ringgit atau kedua-dua sekali.

“Ini merupakan satu kesalahan serius, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tampil memberi maklumat terhadap pemilikan senjata kerana menyalahi undang-undang dan membahayakan keselamatan orang ramai,” tegasnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.