Abdul Taib sambung khidmat sebagai TYT Sarawak

Spread the love

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Yang di – Pertua Negeri Sarawak , Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menerima surat cara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini.

Ini merupakan penggal ketiga Abdul Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak.

Lantikan pertama adalah pada 1 Mac 2014 hingga 28 Feb 2018, manakala lantikan kedua pada 1 Mac 2018 hingga 28 Feb 2022.

Istiadat Pengurniaan Surat cara Pelantikan Kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Antara menteri yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya , Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah.

Abdul Taib pernah memegang jawatan ketua menteri selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981 setelah menggantikan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub.

Anak sulung daripada 10 beradik kepada pasangan Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya’kub itu dilahirkan pada 21 Mei 1936.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide, sebelum kembali ke Sarawak.

Anak jati Bumi Kenyalang itu menceburi politik pada tahun 1963 apabila menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak sehingga 1966. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.