RM110,000 lesap, guru di Mukah tertipu oleh Macau Scam

Spread the love

MUKAH, 27 Feb: Seorang penjawat awam di sini mengalami kerugian RM 110,000 apabila ditipu dalam sendikat Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pegawai polis.

Terdahulu pada 12 Februari 2022 lalu, wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai guru itu, menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai kerajaan.

Menyamar sebagai pegawai LHDN, suspek memaklumkan kepada mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM36,690 di sebuah Syarikat HRC Global (M) Sdn Bhd yang berada di Kuantan Pahang dan didaftar atas nama mangsa.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata mangsa turut membuat panggilan ke suspek yang berbeza yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Pahang.

“Suspek kemudian mendakwa hasil semakan lanjut mangsa terbabit kegiatan jenayah penggubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Mangsa juga diminta untuk memberikan butiran peribadi, butiran perbankan dan nombor TAC kepada pihak Bank Negara Malaysia bagi tujuan penyiasatan dan pembekuan akaun.

“Pengadu yang berasa cemas telah mengikuti arahan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Ariffin dan mendedahkan semua butiran yang diminta,”katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, bagaimanapun dua minggu kemudian mangsa pergi ke Bank Rakyat Cawangan Mukah untuk menyemak baki wang dalam akaun dan mendapati wang sebanyak RM 110,000 milik mangsa telah dipindah ke akaun Bank CIMB dengan penama Amirul Shafri Bin Mat Sharif tanpa pengetahuannya.

“Terasa ditipu mangsa terus membuat laporan polis dan kes ini dalam siasatan pihak kami, kes kini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan,” katanya. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.