Citrawarna Keluarga Malaysia, industri kreatif kembali bernafas – Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 26 Feb : Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak melihat penganjuran Citrawarna Keluarga Malaysia di negeri ini sebagai membuka pintu untuk industri berkenaan kembali bernafas.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana pemain industri berkenaan paling teruk terjejas sejak negara dilanda pandemik apabila majoriti aktiviti kesenian dan kebudayaan tidak dapat dianjurkan.

” Berbanding industri lain seperti makanan yang telah dibuka semula lebih awal, penggiat industri kreatif terpinga – pinga kerana hampir dua tahun menunggu (pembukaan semula),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat ruang pameran TVS sempena penganjuran program berkenaan di Waterfront.

Menerusi ruang berkenaan, TVS menganjurkan pelbagai aktiviti termasuklah kuiz, sesi bergambar serta pertandingan santai yang menawarkan hadiah menarik dalam usaha untuk lebih dekat dengan penontonnya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, beliau berharap agar masyarakat dapat membuka minda dan menerima aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Sementara itu, beliau juga berpesan kepada pengunjung yang datang ke program Citrawarna Keluarga Malaysia supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.