Sarawak hantar 325 atlet ke SUKMA 2022

Spread the love

KUCHING, 25 Feb : Sarawak akan menghantar 325 atlet pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur nanti.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Semawi Mohammad berkata negeri itu juga akan menyertai kesemua 21 jenis sukan yang akan dipertandingkan, iaitu 16 sukan wajib dan lima sukan pilihan.

Katanya atlet terlibat telah berlatih sepanjang tahun serta menyertai kejohanan pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kontinjen Sarawak telah bersedia menyahut cabaran Sukma 2022. Kekuatan kontinjen kita adalah 340 orang termasuk pegawai dan jurulatih serta atlet, bagi menyertai 21 sukan yang akan dipertandingkan,” katanya pada sidang media sempena persediaan Sarawak bagi Sukma 2022 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini, semalam.

Semawi berkata temasya dwitahunan edisi ke-20 itu, bakal mempertaruhkan 306 pingat emas dan sasaran pingat emas bagi Sarawak akan diumumkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, di majlis perjumpaan bersama semua presiden persatuan sukan Sarawak, jurulatih Sukma dan pegawai pembangunan Sukan Elit pada 10 Mac ini.

“Mulai hari ini, semua jurulatih, atlet dan pegawai pembangunan sukan digesa melipat gandakan usaha bagi mencapai sasaran pingat yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata Sekretariat Sukma Kontinjen Sarawak akan mula beroperasi hari ini bertempat di Ibu Pejabat Majlis Sukan Negeri di sini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.