Malaysia dan Thailand setuju laksana VTL

Spread the love

BANGKOK, 25 Feb : Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan VTL udara, darat dan laut, bagi memudahkan pergerakan rakyat kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata , kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, untuk membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan skim ‘Test & Go’.

“Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang.

“Skim VTL juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao, serta termasuk semua CIQ yang di utara semenanjung dan Selatan Thailand, dan VTL-Laut di antara Langkawi-Satun.

“Ini sudah tentu akan dapat membantu untuk memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak, terutamanya untuk sektor pelancongan,” katanya pada sidang media bersama  selepas mesyuarat terhad dengan Prayuth.

Ismail Sabri yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari sejak semalam ke Thailand atas jemputan Prayuth. Lawatan rasmi Ismail Sabri ini adalah sebahagian lawatan pengenalan ke negara-negara Asia Tenggara sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021.

Dalam perjumpaan dengan Prayuth, Ismail Sabri berkata kedua-dua perdana menteri turut membincangkan pembinaan jambatan persahabatan kedua merentasi Rantau Panjang-Sungai Golok, dan jambatan baharu untuk Pengkalan Kubor-Tak Bai disegerakan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.