CENTEXS dan MyIPO bantu daftar harta intelek usahawan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 25 Feb : Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjalinkan kerjasama bagi membantu usahawan di Sarawak mendaftarkan harta intelek masing – masing.

Pengurus Besar CENTEXS, Mohamad Shahren Mohamad Yusri berkata, kerjasama strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan MyIPO di kalangan usahawan.

“Ini seterusnya akan membantu usahawan tempatan untuk melindungi harta intelek mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjung hormat Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Lakar di Galeri Songket Keringkam Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Shahren berkata, menerusi kerjasama berkenaan, usahawan Sarawak juga akan diberi latihan dan pendedahan tentang kepentingan pendaftaran harta intelek secara percuma.

Katanya, ketika ini seramai 690 orang usahawan yang berdaftar dengan CENTEXS namun jumlah yang telah mendaftarkan IP masing – masing masih rendah iaitu kurang 10 peratus.

Sementara itu,Abdul Haris berkata, MyIPO yakin selepas ini bilangan usahawan di Bumi Kenyalang yang akan memohon pemfailan IP akan meningkat.

” Sebanyak 747 harta intelek usahawan Sarawak telah dapat didaftarkan dengan MyIPO pada tahun lepas,” katanya.

Pecahan pendaftaran katanya melibatkan 430 adalah untuk cap dagangan, 276 untuk hak cipta, 24 paten dan 17 reka bentuk perindustrian, yang sekali gus menjadikan Sarawak antara negeri paling banyak bilangan harta intelek yang berdaftar dengan MyIPO. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.