Bekalan kit ujian kendiri Covid-19 masih ada

Spread the love

KUCHING, 23 Feb : Menerusi tinjauan TVS di beberapa farmasi, premis kesihatan diri serta pasar raya sekitar bandaraya Kuching mendapati bekalan kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran masih dalam jumlah yang memuaskan sekalipun ada kebimbangan dalam kalangan orang ramai berikutan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Salah seorang pembantu farmasi Wendy Tsai berkata tiada masalah kekurangan bekalan kit ujian kendiri Covid-19.

“Kami mempunyai bekalan yang cukup secara berterusan jadi tiada masalah kurang bekalan buat sementara ini.

“Untuk bekalan kit ujian sepanjang masa ini selepas tahun baharu Cina sememangnya ada permintaan yang tinggi tetapi tidak memberi kesan kepada stok yang ada,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Sibia Tay mengakui ramai pelanggan datang untuk membeli kit ujian kendiri Covid-19 sejak beberapa hari lalu dengan bekalan tetap ada meskipun berlainan jenama.

“Kalau bekalan kit ujian, kami disini selalunya cukup kerana pembekal juga ada bekalan.

“Seperti bekalan kit ujian air liur atau calitan hidung sememangnya masih ada dan ada juga bekalan kit ujian berlainan jenama tidak ada  tetapi kami akan menerangkan bahawa kit ujian yang tersedia juga bagus digunakan,” katanya.

Bagi seorang guru, Jim Elson tidak menafikan berlaku kekurangan bekalan kit ujian kendiri Covid-19 pada minggu lalu.

“Buat masa ini iaitu hari ini saya sudah pergi ke dua farmasi dan mereka tidak ada bekalan kit ujian yang saya inginkan, jadi saya terpaksa ambil jenama lain,” katanya.

Menurutnya lagi, sebagai seorang guru, beliau amat memerlukan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memastikan kesihatannya terjamin selain bagi mengelakkan berlakunya sebarang penularan covid-19 melibatkan pelajar.

“Selalunya apa yang saya akan buat untuk pelajar saya adalah setiap seminggu saya akan memastikan pelajar membuat ujian kendiri Covid-19 dan juga saya sendiri.

“Kerana saya ingin memastikan kesihatan kami semua terjaga supaya dapat mengajar dan belajar seperti biasa,” katanya ketika ditemui TVS.

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.