Baja sawit bernilai RM297,000 dirampas polis dan diserahkan kepada KPDNHEP

Spread the love

MUKAH, 23 Feb: Tindakan seorang lelaki berusia 51 tahun yang menjalankan operasi menyimpan baja sawit tanpa permit di sebuah gudang di Jalan Mukah-Balingian terbongkar apabila ia berjaya dihidu oleh pihak berkuasa dalam satu pemeriksaan pada pagi hari ini (Rabu).

Sejumlah 10,000 guni baja sawit pelbagai jenis (Boiler ASH, MOP, Compound P dan Oxytertile) telah dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM297,000.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alia, berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas gudang baja sawit tersebut bersama dua anggota MPV, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), sekitar jam 10.15 pagi di persimpangan Anggun Resort Mukah.

“Pemeriksaan turut mendapati, pengurusnya gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan barang kawalan tanpa permit, lesen dan kebenaran khas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita telah menahan pengurus gudang tersebut dan merampas baja sawit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (KPDNHEP) selain menyimpan dan memiliki barang kawalan berjadual tanpa kebenaran,” beliau menegaskan dalam satu kenyataan.

Menurut Muhamad, kes itu akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP Cawangan Mukah untuk tindakan selanjutnya.

“Tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Penolong Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Mukah, Rozli Likom, dan pasukannya di gudang berkenaan bersama borang sitaan barang kes untuk siasatan selanjutnya.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh didenda tidak lebih RM2 juta jika melakukan kesalahan kali kedua.

“Manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM3 juta dikenakan bagi kesalahan pertama, dan bagi kesalahan kedua adalah tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya lagi dalam kenyataan itu. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.