RM1 juta peruntukan, stadium bola keranjang mercu tanda baharu Bintangor

Spread the love

SARIKEI, 22 Feb: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM1 juta untuk perlaksanaan fasa dua projek pembinaan Stadium Bola Keranjang Bintangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, peruntukan berkenaan akan membantu kelancaran projek yang bakal menjadi sebahagian daripada mercu tanda pembangunan di daerah tersebut.

Menurutnya, pembinaan stadium bola keranjang Bintangor merupakan salah satu inisiatif penting kerajaan untuk meningkatkan fasiliti sukan dan aktiviti sosial penduduk setempat.

“Projek ini juga boleh dijadikan sebagai lokasi untuk mengilap bakat belia tempatan dalam kegiatan sukan khususnya bola keranjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri upacara ringkas penyerahan tapak RTP DUN N.46 Meradong untuk bina baharu Stadium Bola Keranjang Bintangor.

Kuong Hiing juga berharap berharap Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Bola Keranjang Bintangor memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan itu selain memastinya dapat digunakan oleh semua lapisan masyarakat daerah Meradong.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, pelaksanaan RTP akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan melalui Kerajaan Sarawak pada setiap tahun dan kontraktor akan dilantik melalui agensi pelaksanaan dengan cabutan undi.

“Pelaksanaan berterusan projek-projek RTP mendapat sokongan penuh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Malah usaha yang dilaksanakan kerajaan ini sudah pasti menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Bintangor, Gung Chiu Kion dan Jurutera Awam Majlis Daerah Julau (MDMJ) Robin Roy. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.