Salvina mangsa bunuh – Polis

Spread the love

SIBU, 21 Feb: Kematian Salvina Chie yang mayatnya ditemui dalam sebuah bilik hotel di Skudai, Johor pada Rabu lepas memasuki episod baharu apabila polis mengesahkannya sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abdul Wahid berkata, pihaknya kini sedang mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Dalam kejadian kira – kira pukul 2 petang itu, Salvina , 33, yang bekerja sebagai pelayan ditemui mati di hotel berkenaan.

Rupiah turut memberitahu, bedah siasat telah dijalankan pada 17 Februari lepas dan mayat telah diserahkan kepada waris untuk dibawa pulang ke Bintangor, Sarawak.

Sementara itu, bapa mangsa, Chie Jinggong, 58, ketika dihubungi memberitahu jenazah anaknya selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu tengah hari tadi.

“Jenazah tiba di rumah panjang Tr. Bennet Imang di Bukit Papit, Teluk Bulat, sekitar jam 1 petang tadi,” katanya.

Ditanya mengenai anaknya, Chie berkata, Salvina, anak keempat daripada tujuh beradik merupakan seorang yang peramah dan berdikari.

“Upacara penghormatan terakhir berlangsung malam ini sementara majlis pengebumian akan dijalankan awal esok pagi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.