Program Jom Masuk IPT diadakan di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 20 Feb: Sarawak menjadi destinasi seterusnya program ‘Jom Masuk IPT’ hari ini yang berlangsung dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, UiTM Cawangan Sarawak diberi penghormatan menjadi penganjur utama program itu di Sarawak.

Kenyataan itu menyatakan program yang diadakan selama dua hari di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) itu telah dirasmikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn.

“Program Jom Masuk IPT bertujuan memberi pendedahan kepada calon-calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya yang ingin mendapatkan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Insitusi-Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

“Sebanyak 21 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan 24 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) turut serta sepanjang program ini diadakan,” menurut kenyataan itu.

Program itu juga turut disertai Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.