Dua hari berbasikal demi bertemu Abang Johari

Spread the love

BINTULU, 19 Feb: Semangat patriotisme yang tinggi membuatkan seorang warga emas berumur 64 tahun mengayuh basikal selama dua hari dari Kuching ke bandar ini.

Mohd. Daud Mustafa yang menghias basikalnya dengan barisan bendera dan bunga-bungaan itu berkata, beliau sanggup berbuat demikian kerana berhajat untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kelibat basikal Mohd. Daud atau lebih senang dikenali sebagai Uncle Joni menarik tumpuan orang ramai di sini dan lensa kamera TVS turut tidak terkecuali.

“Hajat saya untuk berjumpa Abang Johari, inilah yang ingin saya beritahu,” katanya ketika ditemui TVS.

Menurut Uncle Joni, semangat beliau untuk menyebarkan mesej cintakan negara dan negeri itu mendorongnya untuk meneruskan aktiviti mengayuh basikal berhias.

Sebelum ke Bintulu, Uncle Joni pernah berbasikal ke Miri pada tahun lalu.

Walaupun dikenali ramai, beliau mengamalkan sikap tidak sombong sambil menasihati anak-anak muda masa kini untuk mengekalkan semangat patriotisme, sama seperti dirinya.

“Janji kita ada semangat, kalau kita tidak ada semangat, semuanya tidak akan menjadi.

“Macam saya, dari Kuching ke Sibu, selama dua hari, tetapi apabila ada orang bagi saya air dan ajak bergambar, saya terima dan beri kerjasama dan tidak sombong,” katanya.

Uncle Joni turut berkongsikan pengalaman perjalanannya sepanjang dua hari tersebut dan menyifatkan Sarawak sedang mengalami perubahan yang amat ketara apabila jaringan jalan raya di kebanyakan tempat kini sudah berturap dan memudahkan misinya dan pengguna jalan raya yang lain. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.