Wanita maut dalam kemalangan di Jalan Sebiew

Spread the love

BINTULU, 16 Feb: Seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Sebiew kira-kira 6.15 pagi Rabu.

Mangsa, Sylvia Remah Bujang, 31, beralamat Taman Sri Pelabuhan Jalan Bintulu-Tatau disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu. 

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, insiden tersebut berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Sebiew Bypass ke Bandar Bintulu. 

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang lampu di tengah jalan.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Bintulu menggunakan kenderaan awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan sekitar jam 8.30 pagi Rabu.

Kes dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ). – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.