Jangan kemas kini media sosial dengan status kesunyian, elak jadi mangsa Love Scam – Supt Maria

Spread the love

KUCHING, 13 Feb : Pengguna media sosial di negeri ini dinasihatkan supaya tidak mengemaskini akaun media sosial dengan status berbaur kesunyian atau sedang mencari pasangan hidup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial , Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, ini kerana tindakan itu boleh ‘membuka ruang’ untuk menjadi mangsa kepada sindiket penipuan Love Scam yang aktif di pelbagai platform media sosial.

Katanya, pada bulan lepas, IPK Sarawak menerima sebanyak empat laporan membabitkan kes penipuan cinta siber yang mengakibatkan kerugian melebihi RM128 000.

” Sehubungan itu, bersempena dengan kehadiran tanggal 14 Februari ini yang mana terdapat anggota masyarakat di sini meraikan sebagai Hari Kekasih, saya ingin menasihatkan supaya pemilik akaun media sosial agar tidak mudah terpesona dengan gambar-gambar profil wanita cantik atau lelaki tampan yang digunakan di media sosial,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan kes terdahulu, polis mendapati selepas ‘menjadi kawan’ di media sosial, suspek akan menghubungi mangsa untuk meluahkan rasa cinta dan kemudian memberitahu akan datang ke Malaysia kerana mahu berkahwin dengan mangsa.

“Lazimnya, suspek akan membawa bersama hadiah, barangan kemas, mata wang asing dan sebagainya untuk diberikan kepada mangsa.

Selepas itu, ahli sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menghubungi mangsa mengatakan kekasihnya ditahan kerana membawa mata wang asing yang banyak,” katanya.

Kata Maria, mangsa kemudian diminta membuat bayaran ke akaun individu tertentu kononnya untuk melepaskan kekasih daripada tahanan pihak berkuasa dan selepas itu ‘kekasih media sosial’ tidak akan dapat dihubungi oleh mangsa.

“Sementara itu, sebanyak dua individu yang akaun mereka digunakan oleh sindiket love scam telah dituduh di mahkamah di Miri bagi tempoh 1 Januari 2022 sehingga 13 Februari 2022,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.