Belia Sarawak optimis acara tahunan negeri kembali meriah

Spread the love

KUCHING, 13 Feb : Pengumuman Kerajaan Sarawak berkenaan peruntukan RM40 juta bagi melaksanakan acara berkaitan pelancongan, aktiviti belia dan sukan pada tahun ini sangat dialu-alukan oleh golongan belia di negeri ini.

Mereka optimis, suntikan itu akan memeriahkan kembali sektor – sektor berkenaan yang sudah dua tahun ‘sepi’ ekoran pandemik COVID-19 yang berlarutan.

Bagi atlet gusti lengan negara, Tracey Edwina Hughes , dia berpendapat, sokongan padu oleh kerajaan negeri dapat menyemarakkan semula semangat sukan di negeri ini.

Katanya, selaku atlet kebangsaan, dia ingin melihat Sarawak turut mempunyai satu acara sukan negeri bertaraf antarabangsa seperti Festival Muzik Dunia Rainforest (RWMF).

“Saya mengambil contoh sukan gusti lengan, pada 2019, atlet luar dari China, Kazakhstan, Singapura, Australia dan Romania datang ke Kuching untuk menyertai pertandingan gusti lengan. Sebenarnya ia merupakan permulaan yang sangat baik dan berharap acara berkenaan dapat diteruskan semula,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Atlet gusti lengan negara, Tracey Edwina Hughes

Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata , peruntukkan itu sudah disediakan oleh Kerajaan Sarawak sejak dua tahun lepas namun tidak dapat digunakan berikutan pandemik COVID-19 yang ‘menyekat’ pelbagai sektor ekonomi.

Sementara itu, bagi Richard Jihun pula, sebagai seorang yang aktif dalam acara larian di negeri ini, dia menyeru golongan belia untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh kerajaan.

“Inilah masanya untuk kita sama-sama memainkan peranan untuk mempromosikan sektor sukan dan pelancongan Sarawak di mata dunia.

“Saya juga berharap pihak kerajaan akan terus memberi sokongan padu kepada acara-acara sukan seperti Sarawak Ultra, Kuching Marathon, Spartan Race serta aktiviti-aktiviti pergunungan yang terdapat di Sarawak,” ujarnya.

Belia, Richard Jihun

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK), Danison Manium berkata, pengumuman Abdul Karim memberi kelegaan kepada persatuannya kerana ia akan membuka ruang kepada pemuzik sape untuk memperagakan alat tersebut di persada dunia.

“Alat muzik sape sudah dikenali ramai, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Pada masa sama, ia dapat menarik perhatian pelancong asing dengan keunikan melodi sape itu sendiri dan juga reka bentuk serta ukirannya,” tambahnya lagi.

Pengerusi Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK), Danison Manium

Bagi Pengurus KLB Garden di Tebedu, Clifford Kueh Wei Chyi, dia berharap untuk menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan melalui aktiviti dan acara yang bakal dianjurkan di bawah peruntukan berkenaan.

“Memandangkan Bajet Sarawak 2022 untuk pembangunan pelancongan, promosi dan warisan budaya, bagi merancakkan sektor pelancongan, bajet ini akan mampu membantu kita.

Pengurus KLB Garden, Tebedu, Clifford Kueh Wei Chyi

“Jika boleh, kita ingin bekerjasama dengan kerajaan untuk acara atau aktiviti yang menarik pelancongan tempatan dan antarabangsa. Sebagai contoh kami terlibat dalam program Sia Sitok Sarawak 3.0, dan kami berharap daripada bajet ini akan dapat terus menggalakkan rakyat Sarawak melancong dengan selamat dalam negeri, mengikut SOP dalam norma baharu,” tambahnya. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.