Lima Rang Undang-Undang akan dibentang pada Mesyuarat Pertama Sidang DUN Sarawak ke -19

Spread the love

KUCHING, 12 Feb : Lima Rang Undang-Undang (RUU) akan dibentang pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke -19 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 Februari ini.

Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata , empat menteri akan terlibat dengan pembentangan melibatkan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022, RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022, RUU Tafsiran (Pindaan) 2022, RUU Lembaga Industri Sagu dan Nipah 2022 dan RUU Lembaga Industri Getah 2022.

“RUU Perbekalan Tambahan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas manakala RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) pula akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga merangkap Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ujar Mohamad Asfia, pembentangan RUU Tafsiran (Pindaan) akan dilakukan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan iaitu Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

” RUU Lembaga Industri Sagu dan Nipah serta RUU Lembaga Industri Getah pula akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua bacaan kali pertama RUU tersebut akan berlangsung pada 15 Februari manakala RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) melibatkan bacaan kali kedua dan ketiga akan dilakukan pada hari yang sama.

“Manakala RUU Perbekalan Tambahan, RUU Lembaga Industri Sagu dan Nipah serta RUU Lembaga Industri Getah , bacaan kedua dan ketiga akan dilakukan pada 16 Februari,”tambahnya.

Sementara itu, Mohamad Asfia memaklumkan, tiada sesi soal jawab dan penggulungan oleh para menteri terlibat pada sidang berkenaan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.