Malaysia buat kemunculan sulung Piala Remaja Dunia Wanita 2022

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Feb : Malaysia, menerusi Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, bakal membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia Remaja Wanita yang akan berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan dari  1 hingga 12 April depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia ditawarkan untuk menyertai edisi 2022 itu oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) petang tadi ekoran terdapat satu slot kosong bagi benua Asia selepas Jepun membuat keputusan menarik diri.

“Malaysia dipilih untuk mengisi slot tersebut berdasarkan kiraan merit yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kelima Asia dan KHM berbesar hati dengan peluang yang ditawarkan kepada Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan.

“Sejak Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita diperkenalkan pada 1989 di Ottawa, Kanada, ini merupakan kali pertama pasukan remaja wanita Malaysia akan membuat penampilan di kejohanan berprestij itu,” menurut kenyataan KHM hari ini.

Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataan sama yang amat teruja dengan perkhabaran itu menyifatkan undangan daripada FIH sebagai satu penghormatan buat sukan hoki negara.

Katanya KHM cukup berbesar hati untuk menghantar skuad Malaysia, yang kini di ranking 20 terbaik dunia, untuk beraksi di kejohanan tertinggi antarabangsa itu dan ia selaras dengan misi badan induk sukan hoki negara iaitu membawa hoki wanita ke kedudukan yang tertinggi dan terbaik di peringkat Asia mahupun dunia dalam lima tahun akan datang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.