Ekonomi Malaysia pulih 3.6 peratus suku keempat 2021 dipacu permintaan luaran

Spread the love

KUALA LUMPUR, 11 Feb : Ekonomi Malaysia pulih 3.6 peratus pada suku keempat 2021, dipacu oleh peningkatan permintaan luaran, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Malah, secara keseluruhannya prestasi ekonomi Malaysia pada 2021 telah menunjukkan momentum pemulihan dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus berbanding penurunan 5.6 peratus pada 2020.

“Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi bagi 2021 masih di bawah paras pra-pandemik 2019.

Bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku keempat 2021 telah melepasi paras suku keempat 2019 sebanyak 0.01 peratus,” katanya dalam kenyataan mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2021 dan prestasi ekonomi Malaysia 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ekonomi dari segi penawaran bagi suku keempat 2021 dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian manakala permintaan menyaksikan semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi positif kecuali pembentukan modal tetap kasar.

“Dari segi prestasi sektor pula, sektor pembuatan merupakan penyumbang utama apabila meningkat secara ketara sebanyak 9.1 peratus pada suku keempat 2021 (suku ketiga 2021: -0.8 peratus) yang didahului oleh produk elektrik, elektronik dan optikal (16.4 peratus) diikuti oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.5 peratus).

“Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, keseluruhan sektor pembuatan meningkat 8.3 peratus (suku ketiga 2021: -1.8 peratus),” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.