Tahun Baru Cina di seluruh negara disambut sederhana, patuhi SOP

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negara diraikan secara sederhana dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19. 

Setelah sambutan tahun lepas tidak begitu dirasai kerana situasi COVID-19 ketika itu sangat membimbangkan, ternyata rata-rata masyarakat Cina menggunakan kesempatan pada tahun ini untuk memeriahkan suasana perayaan kali ini. 

Di SABAH, sambutan Tahun Baharu Cina berlangsung secara sederhana mengikut pematuhan SOP yang digariskan oleh kerajaan dengan persembahan tarian Singa dan Naga memeriahkan suasana setelah mendapat kebenaran untuk kembali beraksi.

Upacara sembahyang untuk penganut Buddha turut diadakan dengan kapasiti 50 peratus di tokong-tokong di negeri itu seperti Tokong Kuan Loon Tien, manakala aktiviti kunjung-mengunjung antara sanak saudara dilihat kembali memeriahkan sambutan kali ini.

Di SELANGOR, kedatangan Tahun Baharu Cina disambut dalam keadaan sederhana ekoran cuaca yang tidak menentu, terutamanya bencana banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Tinjauan di Tokong Kwan Imm, Jalan Bandar Raya, Klang mendapati orang ramai mula mengunjungi rumah ibadat itu sekitar 7 pagi dan kehadiran anggota Rela yang bertugas memastikan upacara keagamaan berjalan lancar dan terkawal.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan Bernama di Tokong San Kau Tong, Seremban mendapati sambutan diraikan secara sederhana dengan kehadiran penganut Budhha sejak awal pagi yang mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Pengerusi Pertubuhan Penganut Dewa San Kau Tong, Mah Kin Hock berkata hanya seramai 250 pengunjung dihadkan berada di kuil pada satu-satu masa, bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari ini dan kuil turut dipantau anggota Rela dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan.

Sementara itu, pekerja kilang besi warga China, Chen Ling Bin, 54, yang sudah tiga tahun tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman di Xinjiang, China susulan COVID-19 menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sangat bermakna buat dirinya meskipun berjauhan dengan keluarga. 

Di MELAKA, sambutan Tahun Baharu Cina disambut secara sederhana tetapi meriah, dengan masih terdapat beberapa kekangan melibatkan SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata walaupun sambutan perayaan itu hanya diraikan dalam kalangan ahli keluarga terdekat tetapi mereka sentiasa diingatkan agar tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Di PULAU PINANG, masyarakat Cina mengambil peluang untuk menyambut Tahun Baharu Cina dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Lam Chong Sun, 54, berkata selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda negara, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini sangat bermakna kerana beliau sekeluarga dapat berkumpul untuk menikmati makan besar dan meraikan perayaan ini dengan meriah.

“Tahun ini ramai ahli keluarga saya termasuk dari jauh pulang untuk beraya di di Pulau Pinang, anak menantu dan cucu yang tinggal di Selangor pun balik sejak dua hari lepas untuk bersama meraikannya,” katanya.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di beberapa tokong di Alor Setar mendapati upacara sembahyang berjalan lancar dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan bagi perayaan Tahun Baharu Cina.

Ahmad Ibrahim, 52, yang ditemui di luar kawasan Tokong Kong Hock Keong di Simpang Empat di sini berkata beliau datang ke tokong tersebut untuk menghantar saudaranya Hong Lim, 60, yang tidak mempunyai kenderaan untuk pergi menunaikan upacara sembahyang di tokong. 

“Arwah ibu mualaf, jadi saya memang ada ramai saudara Cina. Kebetulan hari ini, tiada urusan jadi saya tolong hantarkan dia dan selepas ini mungkin kami akan berkunjung ke rumah saudara lain sekitar Alor Setar untuk turut sama meraikan perayaan ini,” katanya. 

Di JOHOR, tinjauan Bernama di Kuil Kuno yang terletak di tengah bandar raya Johor Bahru mendapati masyarakat Tionghua hadir seawal 8 pagi untuk melakukan upacara sembahyang sempena perayaan Tahun Baharu Cina mengikut SOP yang ditetapkan.

Pengerusi Kuil Kuno Johor Lee Poo Sin berkata kapasiti yang dibenarkan hanya 50 peratus daripada keseluruhan keluasan kuil itu yang ditubuhkan sejak 1870.

“Kita ikut SOP yang dikeluarkan Kementerian Perpaduan Negara dengan keluasan 50 peratus sahaja dibenarkan. Bagaimanapun pagi ini sahaja kita tengok tidak sampai 30 peratus orang datang untuk upacara sembahyang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kuil berkenaan.

Di PERLIS, rata-rata masyarakat Cina berdoa agar Malaysia bebas daripada COVID-19 dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. 

 Chan Michael, 60  berkata beliau berharap rakyat negara ini terus bersemangat dan tidak putus asa untuk melawan virus COVID-19 dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi kebaikan semua.

Di PERAK, tinjauan Bernama di tokong Nam Thean Tong, Ipoh mendapati penganut Buddha mula hadir ke rumah ibadat itu seawal 8 pagi bagi melakukan upacara sembahyang sempena Tahun Baharu Cina.

Bendahari tokong, Loh Kam Mui, 60, berkata orang ramai boleh menunjungi tokong itu sehingga 5 petang dengan pematuhan SOP yang ketat seperti diwajibkan memakai pelitup muka, imbas kod Mysejahtera dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Di SARAWAK, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina secara maya yang disiarkan siaran langsung menerusi aplikasi Facebook parti itu dengan dihadiri barisan menteri Kabinet yang diketuai Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan tertinggi parti itu.

Semua hadirin yang menyertai sesi siaran langsung itu turut berkesempatan menyertai upacara menggaul ‘Yee Sang’ bersama-sama yang merupakan tradisi masyarakat Cina menyambut tahun baharu.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.