KKMM akan anjur siri jelajah bicara Keluarga Malaysia seluruh negara

Spread the love

MELAKA, 30 Jan : Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menganjurkan Siri Jelajah Bicara Keluarga Malaysia di seluruh negara bagi memperkukuhkan libat urus antara kerajaan dan pemimpin dengan rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia , Tan Sri Annuar Musa berkata siri jelajah berkenaan merupakan tambahan kepada pendekatan Program Bicara Naratif dan Program Inklusif di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaras bagi memperkukuhkan peranan kementerian yang dipertanggungjawabkan menyebarkan maklumat atau mesej tertentu kerajaan yang diputuskan oleh jemaah menteri secara lebih telus dan terbuka. 

Katanya selain itu, program itu juga akan menjadi medium untuk kementerian bagi pihak kerajaan menerima soalan, pandangan dan teguran daripada rakyat untuk penambahbaikan.

“Ini permulaan bagi satu siri (jelajah Bicara Keluarga Malaysia) yang kita mulakan sesi taklimat umum yang saya harap dapat saya buat dari satu negeri ke satu negeri…yang juga dibuat secara langsung dalam live Facebook.

Saya telah menetapkan pada setiap minggu saya akan ambil satu atau dua hari untuk saya turun ke negeri-negeri. Kita tidak boleh berada di Kuala Lumpur sepanjang masa dan kita tidak boleh hanya buat secara maya sahaja sepanjang masa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Bicara Keluarga Malaysia di Auditorium Melaka FM, Jabatan Penyiaran Melaka di sini malam ini.

Beliau berkata siri jelajah berkenaan yang merupakan libat urus secara positif itu juga dirancang dilaksanakan secara berskala besar di lokasi lebih besar dengan mematuhi prosedur operasi standard selain di studio RTM setiap negeri.

Ketika ditanya tentang penglibatan kementerian lain dalam siri jelajah berkenaan, katanya ia merupakan satu kerjasama yang positif yang mungkin akan memberi kesan lebih baik untuk kerajaan dan rakyat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.