BKSS 8.0: Bantuan berterusan demi kelangsungan hidup rakyat dan perniagaan

Spread the love

KUCHING, 28 Jan : Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 disifatkan sebagai inisiatif berterusan oleh Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat di negeri ini terus dibantu berikutan pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak , Dr Nur Aida Kipli berkata, meskipun BKSS 8.0 bukanlah bantuan berbentuk tunai secara keseluruhan, namun ianya tetap memberi manfaat besar kepada rakyat dalam membabitkan pembayaran bil dan kelangsungan perusahan kecil dan sederhana (PKS) .

Katanya, bagi membolehkan rakyat meneruskan kelangsungan hidup, bantuan BKKS 8.0 yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini tepat pada masanya.

“Inilah peranan kerajaan untuk membantu rakyat mengatasi kesan pademik COVID-19”, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perincian BKKS 8.0 oleh Abang Johari pagi tadi menerusi program terbitan TVS.

Dr Nur Aida juga menjangkakan bahawa kerajaan negeri yang kini ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan bantuan seumpama ini memandangkan ia telah memasuki edisi kelapan.

“Melihat kepada situasi ini, Kerajaan Sarawak berupaya menyediakan dana yang besar, jadi tidak mustahil selepas ini akan ada BKSS 9.0 pula,” katanya.

Beliau turut berpendapat, rakyat Sarawak beruntung kerana ditadbir oleh kerajaan yang sentiasa peka dan berterusan berusaha memastikan rakyat menikmati kesejahteraan hidup. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.