Kastam kutip hasil RM42.50 bilion, lepas sasaran RM40 bilion – PM Ismail Sabri

Spread the love

PETALING JAYA, 26 Jan: Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi 2021 mencecah RM42.50 bilion, melepasi sasaran awal RM40 bilion yang ditetapkan Kementerian Kewangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-40 hari ini, Perdana Menteri berkata tahun 2021 juga menyerlahkan keunggulan sektor penguatkuasaan Jabatan Kastam, apabila berjaya menumpaskan kartel pengedaran dadah antarabangsa dengan rampasan seberat 16 tan bernilai RM5.2 bilion.

“Sekalung ucapan tahniah dan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh pegawai dan anggota Jabatan Kastam atas kejayaan cemerlang yang diraih, walaupun kita masih berdepan dengan ketidaktentuan global khasnya ancaman pandemik COVID-19 dan bencana alam.

“Dengan prestasi sebegini, saya amat yakin Jabatan Kastam akan terus bergerak maju sebagai ‘Economic Frontliners’ atau Petugas Barisan Hadapan Ekonomi yang berupaya memacu pertumbuhan berkualiti dan positif bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ke arah menyuburkan kemakmuran Keluarga Malaysia,” katanya.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta dua timbalannya Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa, dan Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata tema sambutan Hari Kastam ‘Memperluas Transformasi Digital Kastam Melalui Pemerkasaan Budaya dan Ekosistem Data’, amat relevan dengan situasi semasa selain bertepatan dengan usaha memodenkan perkhidmatan dan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata ini termasuk usaha ke arah mencorak persekitaran perniagaan yang kondusif sekali gus memupuk keyakinan dalam kalangan peniaga dan pelabur, sama ada di lapangan domestik mahupun antarabangsa

Selain itu Ismail Sabri berkata perkembangan teknologi digital, khususnya dalam sektor perkongsian data serta maklumat merupakan platform yang penting dan telah diaplikasi secara meluas dalam meneruskan kelangsungan perkhidmatan awam, terutama dalam mendepani dampak COVID- 19.

“Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, Jabatan Kastam perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data,” katanya.

Perdana Menteri berkata ia juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

Ismail Sabri berkata hasrat untuk menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam bukanlah suatu perkara baharu, malah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021- 2025, ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.

Beliau berkata ia juga termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), serta turut dirangkum dalam memeta hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Justeru, usaha ‘World Customs Organization’ (WCO) melalui Jabatan Kastam dalam menghidupkan tema sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini, wajar dipuji dan terus dilaksana kerana inisiatif ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan ranking ‘Ease of Doing Business’ bagi Malaysia, yang seterusnya dapat memangkin pelaburan asing,” katanya.

Selain itu beliau juga menzahirkan keyakinan bahawa, suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi Jabatan Kastam, mampu memperkasa prestasi jabatan itu sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing.

Katanya kerajaan juga sentiasa berusaha membantu Kastam terus fokus dalam membanteras penyeludupan dan memudah cara perdagangan ke arah meningkatkan pungutan hasil dan memantapkan lagi kawalan sempadan negara.

Menurut Ismail Sabri komitmen itu terbukti melalui penambahan bot peronda dan mesin pengimbas sebagai aset baharu Kastam, bagi memantapkan kedaulatan perbatasan dan selanjutnya berupaya melancarkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.

“Adalah menjadi harapan saya supaya seluruh warga Kastam dapat menghayati maksud dan tema dalam sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-40 ini. Ia perlu diterjemah dalam pelaksanaan tugas harian ke arah kecemerlangan perkhidmatan jabatan itu,” katanya.

Ismail Sabri turut menzahirkan harapan agar pada tahun ini Jabatan Kastam dapat meningkatkan sasaran pungutan hasil yang boleh dilaksanakan dengan usaha gigih seluruh warga organisasi itu dengan kerjasama daripada semua pihak khususnya orang awam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.

Live