Tiada kad pengenalan, Amatasia dan Jones akan dibantu oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti

Spread the love

KUCHING, 24 Jan : Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) akan membantu memudahkan urusan dokumen pengenalan bagi Amatasia dan Jones Bejie.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah, memberikan komitmen untuk membantu adik-beradik tersebut yang ditinggalkan oleh ibu mereka ketika kecil, dan bapa mereka yang telah berkahwin baharu, sehingga tidak menguruskan dokumen kad pengenalan kedua-dua adik-beradik tersebut.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika ditemui TVS pada majlis ‘Pre-Chinese New Year 2022 with Salvation Army and The Boys Home’ di Pullman Hotel, Kuching pada Isnin.

Menurutnya, beliau telah menghubungi sendiri Amastasia bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kesulitan yang dihadapi adik-beradik itu.

Fatimah berkata beliau mengetahui mengenai kesulitan yang dialami Amastasia dan Jones selepas membaca mengenainya dalam laman web TVS.

“Maklumat yang kita peroleh adalah sijil kelahiran dan latar belakang keluarga mereka.

“Tujuannya adalah untuk memastikan status kewarganegaraan kedua-dua adik-beradik tersebut,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, Amastasia dan Jones mempunyai kakak dan abang yang memiliki kad pengenalan.

Ini, menurut Fatimah, akan menguatkan lagi kes mereka untuk mendapatkan kad pengenalan.

“Kemudian, saya telah menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tindakan seterusnya.

“Oleh kerana umur mereka sudah mencecah lingkungan 20-an, mereka masih berpeluang untuk membuat permohonan daftar lewat kad pengenalan,” katanya lagi.

Menurutnya, kriteria bagi permohonan lewat adalah mesti ada penaja dan segala dokumen berkaitan perlu dilengkapi sebelum kes itu boleh dibawa kepada panel khusus untuk proses kelulusan.

Bila ditanya berapa lama proses bagi mendapatkan kad pengenalan tersebut, beliau menjawab selagi syarat-syarat yang telah ditetapkan dipatuhi, ia hanya ‘memakan’ masa yang singkat sahaja.

“Saya yakin kami dapat membantu mereka,” tegasnya lagi.

Pada masa yang sama, Fatimah menyeru kepada semua ibu bapa agar memiliki kesedaran untuk memastikan setiap anak mereka yang baharu lahir didaftarkan dengan JPN bagi mendapatkan sijil kelahiran, dan apabila anak sudah mencapai usia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga perlu memastikan mereka memiliki kad pengenalan. – TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.