Saya harap mereka akan pulang – King Sing

Spread the love

SIBU, 23 Jan: Anak muda berasal dari Sibu yang kini sedang melanjutkan pengajian di luar negara diharap agar dapat pulang berbakti di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini kerana pembangunan kawasan itu turut memerlukan idea baharu dan segar daripada golongan muda.

Ujar beliau, kepulangan golongan belia berbakat akan turut dapat meningkatkan sektor ekonomi di kawasan berkenaan.

” Mereka (anak muda) telah membuktikan kemampuan apabila diberi peluang seperti pada hari ini apabila berjaya mengelolakan penganjuran program besar seperti Bazar Tahun Baharu Cina Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan bazar berkenaan di sini malam tadi.

Mengulas mengenai bazar berkenaan, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, sebagai permulaan ia merupakan rekod yang baik apabila golongan belia di sini yang diberi tanggungjawab mengelolakan operasi bazar berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 70 peniaga untuk terlibat.

” Penganjuran bazar ini tidak terhad kepada aktiviti jualan sahaja sebaliknya turut dianjurkan dengan persembahan nyanyian yang berjaya memeriahkan tempat ini,” katanya.

Pada masa hadapan, beliau berkata, lebih banyak peluang akan diberikan kepada anak muda untuk menganjurkan program seumpama itu.

Sementara itu, King Sing turut mengambil peluang mengingatkan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung ke bazar berkenaan bagi mengelakkan penularan COVID-19. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.