#SejahteraAsia : Hobi tanaman hidroponik jadi sumber pendapatan sampingan

Spread the love

KUCHING, 21 Jan : Bermula sekadar untuk mengisi masa lapang sewaktu ‘terkurung’ di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, aktiviti pertanian hidroponik yang dilakukan oleh Roziana Baguh kini menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan.

Roziana yang juga seorang pembantu tadbir di sebuah sekolah berkata, dia mendapat pendedahan daripada seorang kenalan di Facebook yang mengajarnya cara menanam sayur menggunakan kaedah takungan air.

Katanya, setelah itu dia memberanikan diri menempah 35 lubang semaian untuk menanam sayur di Kampung Tembawang Sauh.

” Selepas itu, semakin banyak yang saya pelajari mengenai kaedah penanaman hidroponik yang lebih lestari kepada alam sekitar dan menjimatkan,”katanya.

Roziana berkongsi pengalamannya terlibat dengan kegiatan pertanian itu sewaktu menjadi tetamu rancangan Sejahtera Asia terbitan TVS yang disiarkan secara langsung hari ini.

Mengorak langkah, wanita yang berasal dari Bau ini kemudian menubuhkan Roxanne Mini Farm untuk memasarkan hasil sayuran hidroponiknya.

” Jualan hasil tanaman saya menerima sambutan yang memberangsangkan, berbaloi dengan penat lelah saya di kebun,” katanya.

Antara tanaman hidroponik yang diusahakan Roziana.

Waktu berlalu, wanita ini berkata, setiap hari semakin banyak ilmu baharu yang dipelajarinya mengenai konsep tanaman itu.

” Saya kini menggunakan kaedah penanaman Nutrient Filled Technique (NFT) kerana ia memudahkan akar tanaman menyerap nutrien iaitu baja jenis AB yang merupakan baja organik yang dikhaskan untuk tanaman hidroponik,” terangnya.

Ketika ini, dia memiliki sekitar 250 set semaian dan mampu menuai hasil sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan.

Ditanya tentang kelebihan hidroponik, Roziana berkata, kaedah berkenaan lebih lestari terhadap alam sekitar kerana bebas kimia.

” Hasil tanaman lebih berkhasiat berbanding kaedah biasa selain ia turut menjimatkan penggunaan air, tenaga dan kos,” katanya.

Malah menurut Roziana, rasa sayuran hidroponik lebih ‘manis’ dan jangka hayat simpanan juga lebih lama.

Beliau juga turut berkongsi info kepada penonton yang berminat untuk terlibat dengan pertanian hidroponik.

“Tanaman mesti terlindung daripada terkena hujan dan sinaran matahari terlalu lama. Bagi mengelakkan serangga perosak, semburan organik boleh digunakan seminggu sebelum tuaian,” katanya.

Menutup bicara, Roziana berkata, selain menjana pendapatan tambahan, aktiviti berkebun yang dilakukan juga boleh menghilangkan tekanan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.