Wanita penjawat awam rugi RM118 000 terpedaya ‘scammer’

Spread the love

SIBU, 16 Jan : Seorang wanita yang juga kakitangan kerajaan terpaksa menanggung bebanan hutang selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ berjumlah RM118 000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Dr Collin Babat berkata, mangsa yang berusia 58 tahun menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat insuran pada 28 Oktober tahun lalu.

Katanya, suspek memaklumkan bahawa pengadu pernah membuat tuntutan insuran sebanyak empat kali namun dinafikan wanita berkenaan.

“Pengadu semakin gusar setelah disambung kepada seorang polis kononnya berpangkat Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang memaklumkan bahawa dia terlibat dengan penggubalan wang haram sebanyak RM1.8 juta,” katanya

Collin berkata, pengadu kemudian dihubungi oleh seorang lagi pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai peguam dan menawarkan khidmat untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Pengadu dinasihatkan untuk membuka satu akaun bank baharu dan seterusnya menyerahkan gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin kepada suspek pada 7 November tahun lalu.

“Pengadu mengikut kesemua arahan yang diberikan suspek termasuk membuat pinjaman bank berjumlah RM75,000 yang telah diluluskan pada 15 November,” katanya.

Ujarnya, pada hari yang sama, mangsa telah memindahkan RM 75,000 ke akaun bank baharunya itu.

Berdasarkan fakta kes, pengadu juga telah membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM27,000 yang dipinjamnya dari sebuah lagi bank lagi dua hari kemudian.

“Suspek juga mengarahkan mangsa untuk mengadaikan barang kemas miliknya bernilai RM20,000 dan memindahkan RM16,000 ke akaun bank berkenaan pada 16 November 2021,” katanya.

Katanya , sepanjang proses berkenaan berlangsung, pengadu diarahkan untuk tidak memaklumkan kepada sesiapa dan membuang semua dokumen transaksi sehinggalah beliau menceritakan perkara itu kepada suaminya.

“Setelah sedar dirinya ditipu, mangsa yang mengalami kerugian berjumlah RM118 000 juga terpaksa menanggung beban tambahan untuk membayar balik pinjaman wang yang telah dibuat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS

Tags: scammer, sibu

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.