KKM buka tawaran lanjut pengajian kepada pegawai tetap, kontrak

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 Jan : Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka tawaran mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, area of special interest (AOSI), Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kepakaran kepada pegawai lantikan tetap serta kontrak kementerian itu.

Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata tawaran yang dibuka mulai 28 Jan ini terbuka  kepada pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional bukan guna sama KKM lantikan tetap serta pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

Katanya pegawai-pegawai yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan menerusi sistem e-HLP KKM di http://ehlp.moh.gov.my. 

“Pemakluman awal dibuat bagi membolehkan pegawai yang berminat untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana, AOSI, PhD dan kepakaran membuat persediaan sewajarnya sebelum tawaran dibuka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Syafiq pembukaan tawaran kali ini berbeza daripada tahun-tahun lepas kerana pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak turut diberikan peluang mengikuti Program Latihan Kepakaran (PLK) di peringkat sarjana atau ‘parallel pathway’.

“Sebelum ini, hanya pegawai lantikan tetap sahaja diberikan peluang untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan,” katanya.

Mohd Syafiq berkata langkah tersebut selaras dengan keputusan kerajaan pada 14 Julai lepas supaya KKM bersama-sama kementerian dan agensi pusat yang lain merangka pelan kerjaya yang komprehensif dan inklusif untuk pegawai perubatan dan pergigian lantikan kontrak.

Katanya kerajaan menerusi Belanjawan 2022 meluluskan peruntukan kewangan RM100 juta kepada KKM untuk manfaat sehingga 3,000 pegawai lantikan kontrak. 

“KKM merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi yang bersama-sama merealisasikan hasrat kerajaan untuk memberi tawaran baharu kepada pegawai perubatan dan dan pergigian lantikan kontrak di KKM. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.